Monday, October 27, 2008

Produk tenusu

ARKIB : 24/09/2008

Sumber : UTUSAN MALAYSIA

Produk Dutch Lady, F&N, Unilever bebas melamin

PETALING JAYA 23 Sept. - Semua produk Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady) di negara ini adalah selamat untuk digunakan kerana syarikat tenusu multinasional itu tidak mengedarkan produk atau menggunakan bahan mentah tenusu dari China.

Sambil memberikan jaminan tersebut, Pengarah Urusannya, Hans Laarakker berkata, syarikatnya menggunakan serbuk susu yang kebanyakannya diimport dari Belanda, Australia dan New Zealand.

Justeru, katanya, semua produk tersebut adalah bebas daripada pencemaran toksin, melamin sekali gus selamat untuk digunakan.

''Apa-apa produk Dutch Lady yang diedarkan di negara ini adalah dihasilkan oleh kilang-kilang kita di Petaling Jaya atau diimport dalam pek-pek dari negara seperti Belanda dan New Zealand.
'' Saya menggesa semua pengguna membaca label maklumat pada setiap produk tersebut untuk mengenal pasti asal-usulnya,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehingga kini, Dutch Lady menghasilkan dan mengedarkan pelbagai produk berasaskan tenusu yang sesuai untuk semua pengguna dari semua peringkat usia.

Antaranya susu formula bayi, susu yang disteril dan dipasteur serta yogurt.

Laarakker berkata, orang ramai turut boleh melayari www.dutchlady.com.my atau menghubungi pegawai khidmat pelanggan di talian 1-800-88-1191 untuk mendapatkan maklumat tambahan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, rakan niaga Dutch Lady di Singapura, Friesland Foods Singapore telah menarik balik jualan semua produk susu Dutch Lady dalam bentuk pek yang telah disterilkan dan dihasilkan di China.

Jelasnya, ujian awal secara rambang mendapati produk susu berperisa strawberi yang dijual dalam botol satu liter dan 250 mililiter itu dicemari melamin.

Sementara itu, F&N Dairies (M) Sdn. Bhd. dalam kenyataannya menyatakan produk yang dijual di negara ini adalah selamat dan sesuai untuk digunakan selain tidak bersumberkan dari China.

Pengurus Amnya, Edward Liew berkata, setiap produk tenusu keluaran syarikat perlu menjalani ujian yang ketat dan mencapai standard kebersihan pada setiap peringkat pembuatan.

''Sistem dan peraturan (pengeluaran) yang komprehensif sentiasa dipraktikkan untuk menjamin kualiti, keselamatan dan integriti produk terpelihara,'' katanya.

Unilever Malaysia Holdings Sdn. Bhd. (Unilever) pula menjamin penggunanya bahawa bahawa aiskrim Wall's yang dihasilkan di sini atau diimport adalah menggunakan susu dan serbuk dadih yang diimport 100 peratus dari Australia, New Zealand, Eropah atau Amerika Syarikat

No comments: